MARDI Ubah Hidup Saya

Petikan Dari Sisipan Agro Harian Metro

Sekadar berkongsi untuk tatapan kita semua. Bila kita fikir-fikir balik, jika kita rajin usaha, pandai mencari peluang serta tawakkal.. Dengan bertani dan berternak kita boleh meningkatkan taraf hidup. Kisah kat bawah mungkin boleh menyuntik semangat kita semua.

Selamat Berjaya.. Bertani Itu Ibadah dan Sumber Pendapatan..

‘MARDI Ubah Hidup Saya’

Teks dan gambar oleh Norizuan Shamsuddin

Memiliki bilangan anak yang ramai mungkin agak membebankan bagi petani sepertinya.

Namun, di sebalik kesusahan itu, terselit kisah gembira yang merubah segala-galanya.

Dari seorang penanam padi, Che Hassan Che Mod, 56, dididik menjadi usahawan itik.

Siapa sangka dengan menternak itik, kehidupannya berubah, malah dia terkeluar dari garis kemiskinan.

Mengimbas kehidupan lalu, katanya, dia mula menternak itik ini dalam jumlah yang sedikit.

“Ketika itu kehidupan saya susah dan hanya melakukan kerja kampung dengan menanam padi.

“Saya bersyukur mendapat bantuan 50 itik hasil sumbangan kerajaan negeri melalui penghulu kampung,” katanya.

Hasil usaha gigihnya, itik diternak meningkat 1,000 ekor.

“Ia bukan saja menampung perbelanjaan kami, malah jumlah itik semakin meningkat dan mampu memperoleh 700 telur itik sehari,” katanya.

Ditemui di rumahnya di Kampung Bayu Lalang, Che Hassan kini meraih pendapatan melalui penjualan telur mentah.

“Saya turut menjadi pengeluar telur masin di sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang,” katanya.

Perubahan dirinya juga berlaku selepas terpilih mengikuti Program Azam Tani kelolaan MARDI.

“Menerusi Projek Azam Tani, MARDI menyalurkan wang bantuan untuk meningkatkan bilangan ternakan.

“Saya amat bertuah dibekalkan motosikal roda tiga dan ini membantu memperluaskan pasaran telur itik,” katanya.

Mulanya dia hanya menjual telur mentah.

“Berkat bimbingan dan tunjuk ajar MARDI, saya menghasilkan telur masin hasil idea anak kedua yang pernah mempelajari teknik pembuatannya di universiti,” katanya.

Dia yang mengusahakan ternakan itik sejak dua tahun lalu mengakui penjagaan haiwan itu cukup mudah.

Haiwan itu di lepaskan di kawasan bendang padi dan pemantauan dilakukan anak sulungnya, Mohd Ridwan.

“Kawasan sawah mempunyai banyak siput yang baik untuk ketahanan fizikal itik,” katanya.

Katanya, itik yang dilepas bebas lebih aktif dan mudah mengawan.

“Pengeluaran telur itik semakin meningkat, begitu juga dengan reban untuk memudahkan itik bertelur.

“Pemantauan rapi perlu bagi memastikan keselamatan itik di kawasan sawah kerana banyak haiwan pemangsa terutama ular,” katanya.

Che Hassan dibantu isterinya, Wan Naimah Wan Yaacob, 46, untuk menghasilkan telur masin.

Pembuatan telur masin cukup mudah kerana bahan digunakan ialah air yang dimasak bersama garam, daun pandan, bunga cengkih dan asam keping.

“Selepas air mendidih, ia dibiarkan sejuk dan telur diperam dalam ramuan terbabit selama 12 hari,” katanya.

Menurutnya, harga jualan borong bagi sebiji telur mentah ialah 40 sen, manakala bagi telur asin 60 sen.

“Kami menjual telur masin dalam bekas berisi 32 biji dengan harga RM18,” katanya.

Penyelaras Projek Azam Tani MARDI Kelantan, Fauzi Mamat berkata pihaknya sentiasa memantau peserta bagi memastikan kejayaan mereka.

“Kita turut memberi bantuan motivasi dan khidmat nasihat kepada peserta,” katanya.

Tahun lalu, 70 peratus daripada 390 peserta di negeri ini keluar dari garis kemiskinan.

sumber: MyMetro

n.a.z.a

Leave a Reply