Petua Atasi Bayi Menangis

PETUA ATASI BAYI MENANGIS / RUQYAH BAYI MENANGIS

KOTA BHARU – Sumpah iblis untuk menyesatkan manusia menyebabkan makhluk itu terus menerus sedaya upaya mencuba memperdaya umat termasuklah dengan cara membuatkan bayi menangis tanpa henti.

Pengasas Pusat Rawatan Islam At-Tobibi, Datuk Shamsuri Shafie berkata, bayi sememangnya sinonim dengan tangisan yang digunakan sebagai isyarat untuk menyatakan ketidakselesaan; lapar; sejuk atau sebaliknya.

“Pun begitu, bayi yang normal dan sihat tubuh badan tidak akan menangis tanpa henti yang tidak dapat dipujuk hingga menyebabkan ibu tertekan dan kemurungan kerana cukup tidur.

“Iblis yang suka mengganggu bayi iaitu Ummu Sibyaan seperti cicak yang melekat di dinding rumah dan menjelirkan lidah kepada bayi sentiasa membuat tipu daya supaya si ibu stres ini kemudian tertewas serta mula melakukan sesuatu di luar akal waras seperti mencampak bayi dan sebagainya,” katanya.

Katanya, bayi yang menangis kerana gangguan iblis juga menunjukkan tanda-tanda tangisan luar biasa yang berbeza daripada tangisan isyarat atau mengalami sakit biasa seperti gejala kembung perut, tidak selesa dan lain-lainnya.

“Bayi yang alami gangguan akan menangis dengan kuat tanpa henti seperti takutkan sesuatu; terkadang mata terbeliak atau memandang ke atas; badan mengeras dan kaki berlipat ke belakang.

“Apabila terjadinya gangguan seperti ini, ibu bapa seharusnya mengazankan atau mengiqamatkan anak di telinga, membaca Al-Fatihah dan ayat Kursi di ubun-ubun bayi,” katanya.

Ruqyah bayi menangis

1)Al Fatihah 1x
2)ayatul Kursi 1x
3)Surah Al Baqarah ayat 1-5 1x
4)Surah Ibrahim Ayat 24-25 1x
5)Surah Al Hasyr ayat 20-24 1x
6)Surah Al Jin ayat 1-9 1x
7)Surah Al Mukminun ayat 114-118 1x
8) 3Qul 1x
9)Selawat 3x

Beliau berkata, bagi ibu yang baru lepas bersalin dan berada dalam tempoh berpantang pula hendaklah sentiasa membasahkan lidah dengan berzikir bagi mengelakkan berlaku gangguan syaitan dan jin terhadap bayi mahupun kepada ibu itu sendiri.

“Amalkan juga sentiasa memberi salam sebelum masuk ke dalam rumah kerana ketika berjalan mungkin ada di mana-mana tempat yang kita pergi ada makhluk yang ikut sehingga pulang ke rumah kemudian mengganggu anak kecil menyebabkannya menangis.

“Sentiasa beristighfar ketika hendak tidur dan bangun dari tidur juga akan dapat menghindarkan kita daripada gangguan makhluk ini daripada mengganggu bayi serta anak-anak yang masih kecil,” katanya.

Sementara itu, beliau juga berkata, penyakit yang sering dikaitkan dengan kanak-kanak hiperaktif dan autisme turut berkait dengan gangguan jin serta iblis yang masuk ke salur darah serta saraf anak-anak sejak dari kecil tanpa disembuhkan.

“Secara saintifik, kanak-kanak yang menghidap penyakit ini akan menjadi lebih sukar untuk dikawal sekiranya diberi makanan manis yang meningkatkan kadar tenaga dalam badan mereka.

“Dari sudut pandangan Islam pula, penyakit ini ada kaitan dengan gangguan sejak daripada bayi dan tidak diubati menyebabkan kanak-kanan itu gagal mengawal perlakuan mereka sehingga ada yang terloncat-loncat di tempat tidak sepatutnya. Penawarnya sentiasalah baca ayat-ayat suci al-Quran kepada anak-anak ini,” katanya.

sumber: SinarHarian

n.a.z.a

Leave a Reply