Peluang Yang Mesti DiRebut – Potensi Tanaman Pokok Pala

Assalam..

buah-pala Sesambil baca bahagian agro di web harian metro terjumpa satu artikel mengenai buah pala. Terlintas juga, rupanya buah pala ni mempunyai banyak potensi untuk di komersilkan.

Di belah pantai timur ni buah pala jarang sangat nak dijumpai dan tak pernah lagi saya jumpa petani yang membuka ladang pokok pala.

Kepada kawan-kawan yang ada tanah 6-10 ekar rasanya sesuai untuk buat projek pokok pala nih. Lagipun kaum bumiputera tak ramai yang terlibat dalam industri buah pala nih.

Kira-kira 12 tahun lalu, Rohani Mohd Hassan, 53, sekadar menjadi pengeluar jus buah pala secara kecil-kecilan di daerah Balik Pulau, Pulau Pinang.

Berkat kecekalannya, kini beliau menjadi satu-satunya pengeluar jus buah pala Bumiputera yang menceburi perniagaan itu.

Jus buah pala yang menggunakan jenama D’Rosa kini menjadi buah tangan popular dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara yang berkunjung ke Pulau Pinang.

Beliau mengusahakan kilang menerusi syarikatnya Rohani MH Enterprise di kawasan industri kecil di Sungai Nipah pada 2004 dan kejayaan dikecapinya berkat kesabaran dan kegigihannya untuk memajukan perniagaan.

Rohani berkata, segalanya bermula apabila beliau menderita akibat masalah kesihatan selama lebih dua tahun. Selepas meminum air jus buah pala dalam tempoh sebulan, penyakitnya akhirnya sembuh.

Menurutnya, buah pala mengandungi zat seperti kalium, kalsium, fosforus, lemak, protein dan karbohidrat serta baik untuk kekuatan minda, sakit kepala, masalah bau mulut, gatal-gatal dan menghilangkan jeragat selain dijadikan antara bahan dalam pembuatan minyak gosok dan balm, malah ia juga untuk kegunaan luar seperti sakit kepala dan sakit perut.

“Saya memulakan perniagaan jus bermodalkan RM50 untuk membeli botol minuman dan diedarkan secara kecil-kecilan, namun minat mendalam menghasilkan jus buah pala mendorong saya melebarkan sayap perniagaan.

“Alhamdulillah, saya kini antara pelopor Bumiputera yang mengeluarkan produk jus buah pala dengan bantuan peralatan dipinjamkan Jabatan Pertanian Balik Pulau bernilai RM30,000 serta bantuan khidmat nasihat oleh Persatuan Peladang Barat Daya,” katanya.

Rohani berkata, selepas belajar dan membuat pelbagai percubaan serta merumuskan resipi jus terbaik, dia memulakan pengeluaran secara kecil-kecilan bermula di rumahnya berhampiran Sungai Rusa, Balik Pulau.

Beliau berkata, daripada perniagaan kecil-kecilan, kilangnya mampu mengeluarkan lebih 15,000 botol dan pek minuman untuk pasaran ke Kuala Lumpur, Perak dan Kelantan dan turut mendapat permintaan tinggi daripada beberapa negeri lain.

“Jus buah pala dengan kandungan 270 mililiter (ml) dan botol 30ml dijual pada harga RM3, manakala kordial seberat 1 liter dijual pada harga RM12 sebotol.

“Proses untuk menghasilkan jus buah pala bermula dengan mengisar buah sebelum diperah menggunakan mesin bagi mendapatkan patinya sebelum dimasak dengan air gula.

“Minuman jus pala yang diproses mempunyai pelbagai khasiat selain membantu melegakan sakit perut, menghilangkan angin senggugut, membuang angin dalam badan, melawaskan pembuangan, mencegah kolestrol, darah tinggi, membantu perjalanan darah dan mencegah darah beku pada saluran jantung,” katanya.

Sumber Asal : Harian Metro

n.a.z.a

Leave a Reply